PANDUAN PENGAMBILAN UBAT-UBATAN SEMASA PENYUSUAN


Ubat-ubatan merupakan bahan kimia yang digunakan untuk mencegah, merawat dan mengawal penyakit atau masalah kesihatan. Penggunaan ubat-ubatan merentasi sempadan usia dan keadaan fizikal seseorang pesakit. Individu dewasa, remaja, kanak-kanak malahan bayi tidak terkecuali daripada menggunakan ubat-ubatan. Begitu juga dengan golongan ibu yang menyusukan bayi.
Ada ketika, ibu yang menyusukan bayi perlu mengambil ubat tertentu bagi merawat masalah kesihatan mereka. Dalam masa yang sama, penggunaan ubat tersebut perlu dipastikan tidak membawa kemudaratan kepada bayi yang disusukan.
Secara amnya, kebanyakan ubat-ubatan selamat untuk digunakan oleh ibu yang menyusukan bayi. Walaupun begitu, pemantauan perlu dilakukan terhadap bayi yang menyusu sekiranya si ibu mengambil sesetengah jenis ubat-ubatan. Hal demikian bagi memastikan kesan sampingan atau kesan tidak diingini dapat dielak daripada berlaku.
Ubat yang diambil akan diserap masuk ke dalam sistem peredaran darah. Kemudian ia akan melekat kepada protein (albumin) atau bebas terlarut dalam plasma darah. Kadar resapan ubat ke dalam susu ibu bergantung sama ada ubat yang diambil oleh ibu tersebut memiliki kadar pelekatan terhadap protein plasma yang tinggi atau rendah.
Ubat-ubatan yang melekat kepada protein plasma dalam peratusan yang tinggi adalah kurang atau susah untuk memasuki ke dalam susu ibu. Sesuatu ubat akan dianggap melekat kepada protein dalam peratusan yang tinggi, sekiranya peratusan ubat yang melekat kepada protein plasma melebihi 90%.
Penyusuan perlu DIHENTIKAN buat sementara waktu bagi ibu yang mengambil ubat untuk rawatan kanser atau kemoterapi (Antimetabolites) dan bahan radioaktif dalam ubat radiofarmaseutikal. Penyusuan boleh disambung semula selepas satu tempoh masa yang selamat apabila ubat tersebut tidak lagi diambil.
Terdapat beberapa jenis ubat-ubatan jika diambil aktiviti penyusuan boleh DITERUSKAN namun sedikit pemantauan perlu dilakukan. Contohnya kesan sampingan ubat mungkin berlaku kepada bayi apabila si ibu mengambil sesetengah jenis ubat psikiatrik atau ubat anti-epilepsi. Kesan sampingan ini mungkin akan menyebabkan bayi tersebut letih atau mengantuk.
Selain daripada itu penyusuan juga boleh diteruskan oleh ibu jika mengambil ubat seperti Chloramphenicol, Tetracyclines, Metronidazole atau antibiotik daripada kumpulan Quinolone seperti Ciprofloxacin. Walau bagaimanapun digalakkan menggunakan ubat alternatif jika ada.
Bagi ibu yang menyusukan bayi dan perlu menggunakan ubat seperti Sulfonamides, Dapsone, Sulfamethoxazole+Trimethoprim atau Sulfadoxine+Pyrimethamine (Fansidar) pula, pemantauan terhadap bayi perlu dilakukan kerana kemungkinan ubat tersebut boleh menyebabkan demam kuning atau jaundice kepada bayi.
Seterusnya ada juga ubat yang diambil boleh merencat atau mengurangkan penghasilan susu ibu seperti hormon Estrogens (termasuk pil perancang yang mengandungi estrogen), ubat diuretik Thiazide, dan Ergometrine. Justeru penggunaan ubat alternatif adalah digalakkan dalam kalangan ibu yang menyusukan bayi.
Terdapat ubat yang selamat digunakan semasa penyusuan bayi jika digunakan pada dos normal contohnya ubat tahan sakit dan ubat demam seperti Paracetamol, asid Acetylsalicylic, dan Ibuprofen. Walau bagaimanapun penggunaan ubat ini dinasihatkan hanya untuk jangka masa yang singkat sahaja.
Penyusuan bayi juga boleh diteruskan bagi penggunaan pada dos normal ubat antibiotik seperti Ampicillin, Amoxicillin, Cloxacillin dan Penicillins jenis lain, Erythromycin, ubat untuk rawatan batuk kering, ubat kusta, ubat anti malaria (kecuali Mefloquine, Fansidar), ubat cacing dan ubat untuk rawatan jangkitan kulat.
Begitu juga untuk penggunaan ubat asma, Corticosteroids, ubat antihistamin, ubat anti-asid, ubat diabetes, kebanyakan ubat darah tinggi, Digoxin, nutrien dan makanan tambahan seperti iodin, zat besi dan vitamin boleh digunakan pada dos normal oleh ibu yang menyusukan bayi.
Maklumat yang dinyatakan dalam artikel ini tidak muktamad dan tidak terhad terhadap apa yang dipaparkan sahaja. Ianya hanya sebagai rujukan ringkas kepada golongan ibu yang menyusukan bayi dan dalam masa yang sama mengambil ubat tertentu. Para pembaca digalakkan supaya merujuk kepada ahli farmasi atau doktor jika terdapat kemusykilan berkaitan ubat-ubatan yang diambil semasa menyusukan bayi.
Sekiranya orang awam mempunyai sebarang pertanyaan am berkenaan ubat-ubatan, anda boleh bertanya kepada mana-mana ahli farmasi atau menguhubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan di talian 1800-88-6722. Kami sedia membantu.
Disediakan oleh 
Khairul Naim Bin Zainal Abidin
Klinik Kesihatan Lembah Klau, Raub Pahang



#NajlaaBabySkincare
#NajlaaBabySkincareKL
#pengambilanubatubatansemasapenyusuan

019-6647764

6 LANGKAH PENCEGAHAN HFMD

HFMD adalah endemik di Malaysia dan berlaku sepanjang tahun, serta mempunyai tren ’cyclical’ dengan kemuncak setiap tiga (3) tahun. Penyakit ini disebabkan oleh beberapa jenis virus dan kebanyakannya adalah ringan ke sederhana sahaja.  Walau bagaimanapun jangkitan dengan enterovirus 71 (EV71) boleh menjadi teruk dan seterusnya boleh membawa kematian.  Oleh itu pihak KKM sentiasa membuat pemantauan bukan sahaja terhadap kejadian kes tetapi juga jenis virus yang berada di dalam komuniti.

Pada Minggu Epid (ME) 23/2016 (5 Jun 2016 – 11 Jun 2016) bilangan kes HFMD yang dilaporkan di seluruh negara ialah 1,379 kes iaitu peningkatan 83 kes (6.4%) berbanding minggu sebelumnya (1,296 kes). Trend peningkatan kes HFMD telah mula dikesan sejak ME 17/2016 (24 – 30 April 2016) iaitu 794 kes setelah melepasi paras amaran atau ’Alert Level’ (paras yang ditetapkan berdasarkan jumlah kes HFMD pada tahun lepas di Malaysia) iaitu 644 kes seminggu. Sehubungan dengan itu, pihak KKM telahpun mengeluarkan surat Amaran Peningkatan Kes HFMD di Malaysia pada 9 Mei 2016 kepada semua Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) supaya mempertingkatkan pemantauan dari masa ke semasa bagi mencegah dan mengawal penularannya.
Negeri Selangor menyumbangkan jumlah kes tertinggi sehingga kini berbanding negeri lain iaitu 4,441 kes (32.6%), diikuti oleh Johor 1,393 kes (10.2%), WPKL 1,317 kes (9.7%), Sabah 1,299 kes (9.5%), Sarawak 1,108 kes (8.1%), Perak 892 kes (6.5%), Melaka 727 kes (5.3%), Pulau Pinang 713 kes (5.2%), Negeri Sembilan 522 kes (3.8%), Pahang 345 kes (2.5%) dan Kedah 265 kes (1.9%) sementara negeri-negeri lain kurang dari 200 kes. Tiga daerah di Selangor yang tinggi bilangan kes adalah Daerah Petaling (1,626), Hulu Langat (1172) dan Klang (618).
Wabak HFMD ditakrifkan sebagai apabila terdapat dua (2) atau lebih kes HFMD di mana gejalanya timbul dalam tempoh dua (2) minggu di dalam lokaliti yang sama. Sehingga ME 23/2016, Negeri Selangor mencatatkan bilangan kejadian wabak tertinggi dengan 135 wabak (26.7%) berbanding negeri lain, diikuti Sarawak 116 wabak (22.9%), WPKL 58 wabak (11.5%), Johor 49 wabak (9.7%), Melaka 39 wabak (7.7%), Perak 26 wabak (5.1%) dan Negeri Sembilan 20 wabak (4%) sementara negeri-negeri lain kurang dari 20 kejadian wabak.
Penyakit HFMD disebabkan oleh enterovirus dengan majoriti adalah disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV 71). Virus ini merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis mereka yang berpenyakit dan tempoh inkubasi adalah antara 3-5 hari. Kebiasaan jangkitan adalah ringan (mild) dengan gejala demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah. Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan perubatan dalam masa tujuh (7) ke sepuluh (10) hari. Kanak-kanak juga boleh mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, muntah, cirit birit dan kurang selera makan. Walau bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis namun, ianya jarang berlaku.
Penyakit ini cepat menular dengan kadar hampir 100% di kalangan kanak-kanak kurang dari sepuluh (10) tahun terutamanya di premis tempat tumpuan kanak-kanak seperti di taska/tadika. Justeru, KKM ingin menasihatkan ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan supaya mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti berikut:
  1. Tidak membawa anak ke tempat-tempat awam/ sekolah / taska / tadika / pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan.
  2. Membawa anak yang mempunyai tanda jangkitan berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.
  3. Mengamalkan kebersihan dengan mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin, dan selepas menyentuh / merawat lepoh dan semasa mencuci najis kanak-kanak tersebut.
  4. Membersihkan (basmi kuman menggunakan larutan chlorine based) permainan anak serta lantai rumah terutama tandas.
  5. Memastikan pembuangan lampin pakai-buang dibuat dengan betul.
  6. Menggunakan peralatan makan dan minum yang berasingan dan tidak berkongsi barangan dengan anak-anak yang lain.
Pihak pengusaha TASKA, TADIKA dan lain-lain pusat jagaan kanak-kanak disarankan supaya mengambil langkah-langkah yang sama seperti di atas.  Di samping itu, saringan di pintu-pintu masuk (gate-keeping) dilakukan bagi memastikan tiada tanda-tanda jangkitan HFMD sebelum kanak-kanak dibenarkan memasuki premis.
Oleh itu, langkah-langkah pencegahan seperti di atas adalah amat penting bagi mengelakkan peningkatan kes pada tahun 2016. KKM sentiasa memantau kejadian penyakit HFMD di seluruh negara dan mengambil tindakan kawalan dan pencegahan. Untuk makluman, penyakit HFMD merupakan penyakit berjangkit yang perlu dinotifikasi mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Pengamal Perubatan dan orang ramai boleh melaporkan kejadian kes HFMD di premis taska / tadika / sekolah ke Pejabat Kesihatan Daerah yang berhampiran.
Sekian, terima kasih.
Datuk Dr. Noor Hisham bin Abdullah
(Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia)

#NajlaaBabySkincare
#NajlaaBabySkincareKL
#HerbalCream
#SakuraSoap
#AgentNajlaaKL

➢➢➢0196647764
Powered by Blogger.